Ya, hari ini saya menulis. Saya mahu menulis kepada majikan saya yang seorang ini. Selepas saya bermesyuarat dengannya pada petang tadi.
Enchek majikan, sekarang ini hanya enchek sahaja yang mengatakan saya gagal. Malah, dengan salahnya, enchek mengatakan saya gagal kultur. Bagaimanakah enchek mahu menjelaskan sampel-sampel yang telah berjaya saya kultur itu?
Jika saya bawa laporan yang telah saya bentangkan tadi kepada orang-orang yang kerjanya menyusun kromosom setiap hari, walau mereka seorang pegawai, walau mereka seorang juruteknologi, walau mereka hanya seorang pembantu, mereka tidak akan sesekali mengatakan saya gagal. Kerana mereka tahu, gagal itu adalah berlaku hampir setiap kali dalam perjalanan mereka mengendalikan sampel-sampel yang kadangkala beratus-ratus banyaknya sehari.
Saya mahu beritahu di sini, bahawa bidang ini sangat chantek. Sangat-sangat. Betapa kita akan mengkagumi ciptaan Tuhan kepada sesuatu yang dinamakan kromosom itu (maafkan saya jika enchek tidak percaya kepada Tuhan). Tahukah enchek majikan bahawa saya pernah menjumpai sel berbentuk "love" yang sangat sempurna. Saya kira enchek majikan tahu kerana saya pernah tunjuk. Di sini juga saya ingin beritahu enchek majikan, saya juga telah menjumpai satu serakan metafasa yang sangat mengkagumkan. Semua kromosom adalah berpasangan, berada bersebelahan. Sangat-sangat mengkagumkan. Waima pekerja yang sudah lama menghadap kromosom ini juga tidak pernah melihatnya. Bukankah ini tandanya bahawa kromosom juga cintakan saya? ;p
![]() |
Gambar di atas tidak dapat diambil dengan cantik. Tapi lihat sahaja kromosom 7 dan kromosom 1 itu. Owh, boleh besarkan gambar untuk tengok betapa comelnya mereka semua berdua-duaan. Owh! |
Itu belum kira lagi pengalaman saya mencerap warna-warni FISH. Sungguh warna-warni. Saya ada sebelas ribu imej jika enchek majikan mahu lihat. Sangat riang, tahu? Warna hijau dan merah di kalangan warna-warna biru itu. Oh, betapa saya merindui keriangan itu. Pernah satu hari, saya mencerap dari tujuh pagi hingga tujuh malam. Ya, satu hari itu.
Ketahuilah bahawa bidang kromosom ini adalah bidang yang sangat fleksibel dan sangat dinamik. Sangat-sangat. Kromosom itu sendiri sangat dinamik. Tidak mungkin kita menjumpai satu serakan yang sama bentuknya. Pernah sahaja kami di makmal kromosom ini tertipu kerana kromosom itu terlipat, maka kami nampak ia pendek daripada yang sepatutnya.
Saya mahu beritahu enchek majikan juga, bahawa saya sekarang ini sudah dapat melihat kromosom yang cantik berbelang-belang ini hampir setiap hari di makmal yang kecil seperti akuarium itu. Ya, setiap hari. Kami bertiga sudah menjumpai cara supaya kromosom itu cantik dijalurkan. Satu perkara yang saya kira terlalu indah, kerana ia adalah perkara yang saya impikan sejak berbulan lama dahulu.
Jadi, jika enchek majikan mahu tutup unit itu, malah ingin juga mengatakan saya gagal, saya tidak akan keysah lagi. Kerana saya tahu apa yang saya sudah capai di sini. Saya tahu enchek majikan tidak faham akan bidang ini. Saya juga tidak mahu faham ilmu perniagaan seperti yang enchek majikan terlalu minati itu. Kerana saya boleh menyusun kromosom tanpa dibayar. Ya, kadangkala saya mengelat juga, hanya pilih gambar yang chantek sahaja untuk disusun. Ini kerana kromosom yang tidak chantek boleh mengubah mood seseorang.
Saya berharap saya ada majikan yang faham dan cintakan kromosom seperti mana saya sukakannya. Saya alu-alukan keinginan enchek majikan untuk mempelajari bidang ini. Ia terlalu indah, saya pasti enchek majikan akan jatuh cinta. Tetapi Dr. Puteri pernah beritahu, orang lelaki selalunya susah mahu jatuh cinta dengan kromosom ini. Tetapi, saya kenal beberapa lelaki yang telah jatuh cinta dengan kromosom ini. Ya, tidak ramai saya kira. Di Malaysia ini, yang saya kenal benar cuma satu, di HatYai mungkin ada beberapa. :) Tapi, seperti kata enchek majikan, jangan berputus asa lagi. Saya juga mahu katakan begitu kepada enchek majikan, walaupun Dr. Puteri telah mengatakan begitu kepada kawan enchek majikan. Belajarlah segera. Saya akan ajar sejauh mana yang saya tahu.
Sudah panjang benar saya menulis. Perlulah saya tamatkan. Disertakan di bawah ini imej terkini yang saya ambil sebelum saya pulang tadi. Terlalu mengasyikkan. :)
Sekian.