Sunday, May 15, 2011

Kepada anak-anak yang lahir selepas 20 April 2010

Maafkan kami.

Hari itu, 20 April 2010, jam 10 malam waktu tempatan, telah tercatat satu tragedi di bumi. Sangatlah dahsyat. Tumpahan minyak di Teluk Mexico, yang berlarutan tiga bulan lamanya. Angkara perbuatan manusia.

4.9 juta tong minyak telah tumpah ke lautan. Ya, 4.9 JUTA.

Pencemaran alam tiada sempadan. Walaupun ia berlaku jauh di Mexico, kita tahu sumber air dari laut adalah sudah tercemar dengan tumpahan minyak itu. Hidupan laut sudah menjadi mangsa. Hidupan liar seperti burung-burung juga telah diselaputi minyak dan gagal terbang. Ada yang dapat diselamatkan. Namun, banyak juga yang menemui ajal.

Sudah lebih setahun, tapi baru kesempatan saya menulis di sini.

Namun, ada satu hal lagi yang telah berlaku dalam masa setahun itu.

Kebocoran reaktor nuklear di Jepun, yang juga telah memasuki air laut yang masin itu. Kejadian ini berlaku akibat gempa bumi kuat yang melanda. 

Bahawa kita sentiasa tahu, pencemaran alam tiada sempadan. Bahawa kita semua tahu kesan pencemaran radioaktif hanya dapat diketahui selepas beberapa waktu. Jika dilihat kesan letupan Chernobyl, terlalu banyak kesan ngeri. Itu hanya melibatkan pencemaran udara. Dan, kali ini air laut pula telah dicemari radioaktif.

Setakat entri ini ditulis, diberitakan pencemaran nuklear ke laut itu masih berlaku. 

Anak-anak yang lahir selepas 20 April 2010, hanya 10 tahun lagi kamu mungkin akan faham sepenuhnya apa itu maksud pencemaran. Dan, kita semua tidak tahu apa lagi yang mungkin akan berlaku dalam masa sepuluh tahun ini, menyebabkan air laut itu akan makin tercemar. 

Ketika itu, janganlah kamu marah atau memberontak kepada orang dewasa. Bahawa mereka semua itu telah meninggalkan bumi yang sangat tercemar dan suruh kamu hidup riang. 

Ketahuilah bahawa kami tidak berniat begitu. Namun, kami hanya mampu berharap kamu semua akan mempunyai semangat yang kuat untuk hidup. Kemarahan kepada generasi kami tidak akan dapat mengubah apa-apa.

Ya, kami tidak cukup berusaha untuk meninggalkan bumi yang lebih bersih untuk kamu tinggal.   Semoga kamu semua maafkan kami.

Sekian.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...